Bismi Allahi arRahmani arRahim
Honda Insight putih meluncur lagi meredah hujan lebat menuju ke Gombak. Airmata Puan Zatie mengalir lebat selebat hujan tengah hari ini. Pandangan beliau kabur namun beliau sangat berhati-hati ketika memandu. Pilu hatinya menahan kerinduan yang bersarang lama di dalam jiwanya. Status fecebook Ustazah Siti Khadijah telah menggodak kembali kisah lalu yang tersimpan baik di sudut hatinya.
Afina berjalan laju menuju ke deretan meja yang tersusun rapi di bilik rehat Pusat Pembangunan dan Pendidikan Insan. Afina menyapa lembut, “Assalamualaikum Kak, saya perkenalkan Abdullah”, sambil tangannya menunjuk ke arah Abdullah yang berdiri di sebelahnya. Puan Zatie tersenyum sambil menjawab salam Afina. Beliau memandang tepat ke muka pemuda itu.
Abdullah memakai kemeja-T lusuh berwarna merah, seluar jeans yang hampir tembus di lutut dan sepasang selipar jepun yang hampir putus talinya. Afina menerangkan, “Abdullah baru sahaja sampai dari KL Sentral. Dia menaiki keretapi api dari Laos dalam pakaian inilah”. Sayu hati Puan Zatie, beliau menundukkan pandangan. Takut nanti Afina dan Abdullah mengesan kesedihan dalam sinar matanya yang bening jernih.
Afina menyambung ceritanya, “Kakak, saya sudah tidak mampu untuk membantu Abdullah. Sebagai warga asing dan saudara baru, saya juga amat perlukan bantuan. Jadi saya serahkan Abdullah dalam penjagaan Kakak. Maksud saya, Kakak bantulah dari segi kewangan.”
Puan Zatie tersenyum, “Baiklah Afina, Kakak akan membantu Abdullah setakat yang Kakak mampu. Ceritakan bagaimana Abdullah boleh memeluk Islam dalam Negara Laos yang amat kurang penduduk Muslim.”
Puan Zatie memandang Abdullah sambil mendengar Afina bercerita. Beliau tidak menyangka ada orang Islam yang mengajak orang memeluk Islam untuk disuruh bekerja membantu mereka. Puan Zatie bershukur kerana Afina terserempak dengan Abdullah di sebuah masjid di Laos dan membawanya ke Malaysia. Alhamdulillah permohonan Abdullah untuk meneruskan pelajaran di UIA diterima.
Afina meneruskan ceritanya, “Kakak, Abdullah tidak tahu bertutur dan membaca dalam bahasa Inggeris. Dia juga tidak tahu solat kerana tidak pernah diajar oleh orang yang membawanya ke dalam agama Islam. Kalau kakak mahu bertanya apa-apa, saya akan terangkan kepada Kakak. Ini nombor telefon Abdullah. Saya telah berikan nombor telefon Kakak kepada Abdullah. Saya terpaksa pergi dulu kerana mahu mengambil anak saya di rumah pengasuhnya”.
Sebelum Afina pergi bersama Abdullah, Puan Zatie menghulurkan sedikit wang buat perbelanjaan Abdullah dan berjanji akan bertemu Abdullah pada hari esoknya untuk memberikan pakaian dan kasut kepada Abdullah. Mujur juga Abdullah tinggal di dalam Kampus, senanglah berurusan dengannya nanti. Puan Zatie berdoa agar Allah memberi petunjuk dan kemudahan kepada Abdullah mempelajari cara menjadi seorang Muslim. Bisik hati kecilnya, “Ya Allah, jika Engkau redha dengan rezekiku dan suamiku, Engkau penuhilah hati anak ini dengan iman yang teguh”.
Hari berlalu terlalu pantas. Perbelanjaan sara hidup Abdullah tidak pernah Puan Zatie abaikan. Pada Satu hari, Abdullah menghantar pesanan ringkas, penting katanya, “I have to see you today, urgent”. Abdullah sudah boleh berbicara, menulis dan membaca dalam bahasa Inggeris dalam masa hanya 3 bulan. Sungguh Allah kurniakan kecerdasan minda kepada Abdullah. Puan Zatie terus menelefon Abdullah sebaik sahaja membaca pesanan ringkas itu. Puan Zatie meminta Abdullah datang menemuinya di café HS.
Puan Zatie berjalan menuju ke café. Abdullah sudah sedia menunggu di situ. Sampai saja di café, Puan Zatie memberi salam dan bertanya khabar. Beliau memandang tepat ke muka Abdullah yang bermata sepet seperti orang Siam. Abdullah menundukkan pandangan, air jenih kelihatan mengalir jatuh dari pipi Abdullah. Dia menghulurkan sekeping surat kepada Puan Zatie. Puan Zatie mencapai surat tersebut dan membacanya dengan berhati-hati. Sedih melihat anak muda menangis di depannya. Setelah membaca surat itu, Puan Zatie tersenyum sambil berkata, “masalah kecil sahaja. Saya akan menolong kamu. Itukan janji saya dahulu”. Abdullah mendongakkan mukanya dan memandang Puan Zatie. Dia seorang lelaki yang bertubuh kecil dan rendah. “Tetapi jumlah itu terlalu besar. Bagaimana Puan mahu mendapatkannya?”
Puan Zatie bertutur lembut, “Kamu usah risau, tahulah saya bagaimana membantu kamu. Kamu balik dahulu dan datang berjumpa saya besok di sini pukul 12.30 tengah hari. Ambil ini buat perbelanjaan kamu”. Puan Zatie menghulur segulung wang kepada Abdullah. Abdullah menyambutnya sambil berterima kasih.
Seperti yang dijanjikan, mereka berjumpa keesokan harinya. Puan Zatie menghulur sekeping cek kepada Abdullah. Anak matanya kelihatan ke kiri dan kanan membaca jumlah yang tercatat di muka depan cek tersebut. Air mula merembes keluar dari bibir mata Abdullah. Puan Zatie kehairanan lalu bertanya, “Tidakkah kamu gembira kerana sekarang kamu boleh melunaskan hutang kamu dengan universiti dan dapat menyambung pelajaran kamu? Sehingga kamu mendapat bantuan biasiswa, saya akan membantu kamu.”
Abdullah mengeluarkan sehelai sapu tangan dan mengesap airmata yang tumpah. Dia memandang tepat ke muka Puan Zatie. “Saya bukan siapa-siapa bagi Puan dan Puan tidak mengenali saya. Puan tidak pernah bertanya asal usul saya atau mengambil tahu kegiatan saya, samada saya seorang yang baik atau jahat. Saya sungguh terharu dan terhutang budi. Saya berazam akan menjadi seperti Puan, sanggup membantu sesama Muslim atas hanya ikatan iman. Jika Puan adalah seorang lelaki, saya peluk dan cium Puan sekarang juga. Ya Allah, Engkau kurniakan kebaikan kepada Puan Zatie dan keluarga beliau. Berikanlah ganjaran yang berganda-ganda kepada beliau”. Doa Abdullah menyentuh hati Puan Zatie. Air jernih mengalir membasahi pipinya.
Beberapa bulan selepas itu, Puan Zatie menerima panggilan telefon dari Afina. Afina menyatakan kebimbangannya tentang perubahan Abdullah. Katanya, “Abdullah datang ke rumah saya ketika cuti pertengahan semester lepas. Saya bimbang Abdullah terpengaruh dengan ajaran sesat.” Puan Zatie terperanjat dan berkata, “Ajaran Sesat! Apa yang telah dia buat?”. Afina menyambung ceritanya, “Abdullah bangun dan solat malam pada setiap malam ketika dia berada di rumah saya. Dia juga puasa setiap hari Isnin dan Khamis. Saya bimbang dia terpengaruh dengan Wahabbi”. Puan Zatie tersenyum mendengar penjelasan Afina. Beliau bersyukur kerana doanya telah dimakbulkan Allah. Walaupun begitu, beliau berhati-hati ketika menjelaskan perkara itu kepada Afina, kerana Afina juga seorang saudara baru yang masih perlu banyak belajar mengenai Islam. Puan Zatie memujuk, “Usah bimbang, kakak akan memantau Abdullah. InshaAllah Abdullah berada di atas landasan yang benar”.
Masa seakan beputar ligat. Sudah hampir 6 tahun Abdullah di UIA. Pada suatu hari Puan Zatie menerima panggilan telefon dari Abdullah. Puan Zatie mendengar penjelasan Abdullah…Airmata meluncur laju membasahi pipi dan tudungnya. Puan Zatie diam dan tidak tahu untuk berkata apa-apa cuma beliau berdoa supaya Allah tetap memberi perlindungan dan menunjuki Abdullah jalan yang lurus. Abdullah telah tamat pengajian dan mendapat keputusan cemerlang. Dia akan kembali ke Laos dan kemudian berkelana ke Negara Arab untuk mempelajari bahasa Arab. Puan Zatie mendoakan kejayaan Abdullah. Bibit rindu mula berputik.
Sebelum Abdullah berlepas ke Laos, dia menghantar sebuah pesanan ringkas kepada Puan Zatie. “Madam, you’ve helped me a lot. You are a gift from Allah to me. I will never forget you for the rest of my life. You’re always in my prayers and I want to follow your footsteps, helping others who are in need. Even though I have never said this to you but I love you. You’re my mother. I will always cherish you for the rest of my life. Assalamualaikum madam. I pray that Allah will always bless you and your family”.
Air jernih suam mengalir laju. Hujan semakin lebat. Puan Zatie memperlahankan pecutan Honda Insightnya. Sudah beberapa tahun Abdullah pergi dan selama itulah dia tidak pernah menghubungi Puan Zatie. Puan Zatie faham kesusahan Abdullah dan tidak pernah menyalahkan Abdullah. Cuma beliau rindu. Dalam hujan lebat petang ini, hatinya berbisik,
“I love you Abdullah...,I try to search for you but I didn't know your real name...I only know your Muslim name...I miss you so much...May Allah grant you happiness and success in both worlds...if you, one day, google my name, you will find me, I'm sure. Please contact me...I miss you soooo much”.
Ustazah Siti Khadijah, Puan memang pandai mengusik memori yang tersimpan lama sehingga membuahkan rindu yang tidak terlukis oleh kata-kata.
No comments:
Post a Comment