Tuesday, October 18, 2011

24 Tahun Dahulu

Bi ismi Allah ar-Rahman ar-Rahim

Hajar menatap gambar suaminya kerinduan. Hajar mendail nombor kawasan 405. Selepas 3 kali deringan, terdengar suara lunak berkata, "Assalamualaikum". Bibir Hajar menguntum senyuman. Terubat rindunya apabila mendengar suara suaminya yang berada 450 batu jauh dari kampusnya. Dengar riang Hajar menjawab salam, "Waalaikumussalam Abang, Hajar rindukan abang separuh mati. Abang datanglah ke kampus Hajar hujung minggu ini". Rengekan manja Hajar berjaya memujuk suaminya memandu sejauh 450 batu untuk bertemua Hajar di hujung minggu nanti.

Hajar mengatur rancangan. Dia berbincang dengan kawan baiknya supaya pada hujung minggu ini mereka menumpang di rumah sewa Hajar dan Hajar pula menggunakan studio mereka ketika suaminya datang nanti. Hajar menyewa rumah yang agak besar bersama dengan 3 orang rakan lain. Sudah jadi kebiasaan apabila suami Hajar berkunjung ke kampusnya, kawan-kawan Hajar akan memberikan studio mereka untuk Hajar dan suami. Hati Hajar berbunga-bunga. Dia tidak sabar menunggu putera idaman yang bertahta di hatinya walaupun baru dikenalinya tidak sampai 3 bulan lalu, iaitu selepas meraka diakad nikah.

Sunguh rindu Hajar pada suaminya itu adalah rancangan Allah semata-mata. Pelukan suaminya mengubat segala keresahan dan kerinduanya. Hajar rasa sungguh bahagia lalu berkata, "Abang, kalau kita dapat baby, tentu comel baby kita". Suami Hajar terkejut kerana mereka telah bersetuju untuk tidak memulakan keluarga sebelum tamat pengajian. Hajar berkata lagi, "Kak Nik merancang untuk tidak mempunyai anak sebelum tamat pengajian, sampai sekarang Kak Nik dan Abang Agus tidak mendapat anak. Hajar rasa setelah kita dapat seorang anak, kita boleh mula merancang. Hajar takut kalau kita tidak ada zuriat lansung". Suami Hajar diam saja.

Suami Hajar meninggalkan "The Land of Enchantment" pada pagi Ahad yang dingin beserta salju yang memutihkan pemandangan sebuah negeri di Barat Tengah Amerika bersama dengan semaian zuriat.

Sembilan bulan kemudian, 24 tahun dahulu lahirlah zuriat pertama Hajar dan suami yang dinamakan sempena gelaran pahlawan agung Islam dengan doa dan harapan bahawa anak pertama mereka menjadi seperti pahlawan tersebut, berjuang menegakkan Islam dibumi Allah ini.

Anak yang comel. Berkulit putih melepak sehingga jiran-jiran di Kemaman menganggap Hajar telah bernikah dengan mat salleh. Selalu sahaja Hajar mendapat pelawaan untuk menyertai pertandingan bayi comel bagi anaknya. Namun Hajar menolak. Dalam hati Hajar dan suami, mereka inginkan anak yang soleh yang menghafaz al-Qur'an yang akan memberikan syafa'at kepada mereka berdua di akhirat kelak.

Wahai Anak
Kelahiranmu membawa sinar bahagia ke dalam hidup ummi dan baba. Dikau mengajar Ummi erti kasih sayang seorang ibu, mendekatkan ummi kepada ibu kandung ummi sendiri, memahamkan ummi kepayahan dan kesusahan bonda ummi melahirkan dan mendidik ummi sehingga berjaya.

Kelahiranmu, ummi sambut dengan sejuta kesyukuran. Dikau penyambung warisan ummi dan baba. Dengan penuh kasih sayang dan juga dengan segala macam kesilapan yang ummi lakukan, ummi hanya mahu satu, iaitu dikau bahagia dunia dan akhirat. Kedangkalan kemahiran mendidik dan kemahiran keibubapaan telah menimbulkan penyesalan yang tidak terhingga. Mengingatkan kesilapan demi kesilapan yang ummi lakukan, airmata ummi tidak pernah berhenti mengalir sehingga ke hari ini. Kadang-kadang ummi mahu kembali ke masa lalu untuk memeluk dan menciummu dengan penuh kasih sayang. Ummi sedar itu hanyalah 'wishful thinking' sahaja. Jadi, ummi tidak lupa untuk sentiasa mendoakanmu menjadi hambah Allah yang soleh, yang menggantungkan hatinya di rumah Allah, yang berusaha memajukan ummah dan menjadi seperti Khalid al-Walid. Ummi akan terus berdoa dan berdoa supaya Allah memberikan kebahagian dan kejayaan dunia akhirat kepadamu.

HAPPY BIRTHDAY ABANG


UMMI LOVES YOU SO MUCH

BILA NAK KAHWIN...UMMI MAHU CUCUUUUU :D

No comments:

Post a Comment