Saturday, April 14, 2012

Bacalah dengan Nama Tuhan

BismiLlahi ar-Rahmani ar-Rahim

Bacalah dengan nama Tuhanmu ayatuLlah dalam bentuk kata-kata suci wahyu Tuhan dan juga ciptaan Tuhan termasuk dirimu yang diciptakan dari segumpal darah. Bacalah dalam dirimu dan dalam darahmu itu ada tanda-tanda dan mesej dari Tuhanmu...Bacalah kesemuanya maka dirimu tidak akan dapat lari dari membuat rumusan bahawa dirimu dan alam semesta yang terbentang luas ini berserta dengan segala isinya itu bukan terjadi dengan sendiri "by chance". Bacalah maka dirimu akan mengetahui dengan penuh keyakinan bahawa dirimu adalah hamba kepada Sang Pencipta. Sang Pencipta yang Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana untuk mengajarkanmu ilmu yang tidak dirimu ketahui. Bacalah dan ketahuilah bahawa ilmu itu datangnya dari Tuhanmu dan DIAlah GURUmu yang pertama. Mengajarkan kepadamu bahawa segala-gala yang wujud itu tiada lain selain daripada tanda-tanda dan mesej dari Tuhanmu memberitahumu bahawa DIA WUJUD dan DIA menampakkan kepadamu sifat-sifatNYA yang DIA mahu dirimu ketahui.

Bacalah dengan menggunakan 'aql sihat kurniaNYA kepadamu kerana tanpa 'aql sihat dirimu tidak akan mendapat kepastian akan keberadaanNYA. Bacalah itu arahan untuk menggunakan daya fikir yang membuatkanmu terpaku terpesona sehingga jantung dan lidahmu tidak dapat lari dari menuturkan zikr.

Bacalah dan TuhanMU mengajarkanmu ilmu-ilmu yang tidak dirimu ketahui. Apakah ilmu itu? Bacalah, maka dirimu akan mengetahui bahawa 'aqlmu hanya mampu memproses maklumat yang didapatinya dari pancainderamu. Bacalah, dan dirimu memahami bahawa hakikat kewujudan itu luas tetapi kebenaran yang dirimu ketahui tentang hakikat kewujudan itu terbatas oleh kemampuan 'aqlmu. Maka, Tuhanmu yang Maha Pengasih Pemurah mengajarkanmu apa yang dirimu tidak ketahui tentang kewujudan dan kehidupan di alam sana.

Tidakkah kamu ketahui bahawa kehidupan alam sana itu adalah pendorong dan juga pengawal kepada tingkah lakumu? Bacalah dan dirimu akan mengetahui rahsia disebalik membina jati diri dengan mengetahui kehidupan alam sana bahawa gambaran hidup di sana dapat menghalang dirimu dari terjerumus ke lembah kehinaan.

Tidakkah dirimu dapat bandingkan bagaimana Nabimu mendidik sahabat-sahabatnya dengan memperlihatkan realiti kehidupan di sana dengan sejelas mungkin dan dirimu dididik dengan mendahulukan amalan-amalan yang kamu tidak memahami kenapa kamu harus melakukannya. Hasilnya, amalan-amalan itu tidak dapat menghindarkanmu dari jatuh ke lembah kehinaan.

Bacalah dan dirimu akan menjadi hamba kepadaNYA

Thursday, April 12, 2012

Wahyu pertama

BismiLlahi ar-Rahmani ar-Rahim

Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan
Mencipta manusia dari segumpal darah
Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Mulia
Yang mengajar manusia dengan pena
Yang mengajar manusia apa yang tidak diketahui

Lima ayat Allah yang pertama diturunkan melalui perantaraan Jibrail kepada Nabi Muhammad untuk diajarkan kepada ummat manusia.

Sungguh pelik kerana dipertemuan pertama, kita selalunya berkenalan TETAPI dipertemuan pertama, Allah mengarahkan Nabi Muhammad untuk membaca...

Apakah maksud bacalah? Adakah bacalah itu bermaksud kita menyebut perkataan dengan bunyi yang betul? Kalau begitulah maksud bacalah, maka apa yang dibaca tidak mungkin dapat menjadi panduan hidup. Sedangkan membaca itu bertujuan menambahbaikkan...

Apakah pula yang wajib dibaca dengan menyebut nama Tuhan? Adakah bahan bacaan itu adalah kitab Allah? Jika bahan bacaan itu adalah kitab Allah, mengapa tidak dinyatakan dengan specifik? Apabila kita meneliti kitab Allah, maka dinyatakan yang WAJIB dibaca itu adalah AYATULLAH yang bermaksud tanda-tanda dan mesej dari Allah (Signs of Allah).

Apakah itu tanda-tanda dan mesej dari Allah? Mesej dari Allah itu adalah Kitab Wahyu dari Allah dan Kitab terbuka ciptaan Allah. Ciptaan Allah termasuk

manusia, alam semesta, segala planet-planet, galaksi, binatang dan tumbuhan, angin, ribut, dll
segala peristiwa yang berlaku seperti sehelai daun yang gugur ke bumi, peperangan, kematian, kelahiran, perjalanan hidup seseorang, sejarah, dll

Apabila kita membaca kitab Allah, kita dapati Allah mengarahkan kita untuk memerhati dan berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi, malam dan siang, binatang ternakan, pohon-pohon tumbuhan, parasit dan kuman, penyakit hati dan penyakit fizikal, dan segala ciptaan Allah yang wujud, Allah arahkan kita untuk membacanya dengan memerhati dan menyelidik.

OLEH itu orang yang membaca al-Qur'an dan memahaminya adalah orang yang melihat keluar dari al-Qur'an untuk mencari dan menyelidik rahsia-rahsia penciptaan alam berserta dengan isinya dan juga segala peristiwa yang telah berlaku. Orang yang membaca al-Qur'an adalah orang yang berada di makmal-makmal, di hutan-hutan, di lautan, di gunung, di padang pasir, dalam masyarakat memerhati dan menyelidik untuk memahami mesej dan tanda-tanda yang telah ALlah berikan.

Orang yang membunyikan bacaan al-Qur'an dan tidak pernah bangkit dari tempat dia membunyikan bacaan al-Quran itu adalah orang yang tidak melaksnakan arahan-arahan yang terdapat dalam al-Qur'an untuk melihat, menyelidik dan mentafsir ciptaan Allah. Yang dia dapat adalah kutukan dari al-Qur'an.

Bersambung...