Saturday, April 14, 2012

Bacalah dengan Nama Tuhan

BismiLlahi ar-Rahmani ar-Rahim

Bacalah dengan nama Tuhanmu ayatuLlah dalam bentuk kata-kata suci wahyu Tuhan dan juga ciptaan Tuhan termasuk dirimu yang diciptakan dari segumpal darah. Bacalah dalam dirimu dan dalam darahmu itu ada tanda-tanda dan mesej dari Tuhanmu...Bacalah kesemuanya maka dirimu tidak akan dapat lari dari membuat rumusan bahawa dirimu dan alam semesta yang terbentang luas ini berserta dengan segala isinya itu bukan terjadi dengan sendiri "by chance". Bacalah maka dirimu akan mengetahui dengan penuh keyakinan bahawa dirimu adalah hamba kepada Sang Pencipta. Sang Pencipta yang Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana untuk mengajarkanmu ilmu yang tidak dirimu ketahui. Bacalah dan ketahuilah bahawa ilmu itu datangnya dari Tuhanmu dan DIAlah GURUmu yang pertama. Mengajarkan kepadamu bahawa segala-gala yang wujud itu tiada lain selain daripada tanda-tanda dan mesej dari Tuhanmu memberitahumu bahawa DIA WUJUD dan DIA menampakkan kepadamu sifat-sifatNYA yang DIA mahu dirimu ketahui.

Bacalah dengan menggunakan 'aql sihat kurniaNYA kepadamu kerana tanpa 'aql sihat dirimu tidak akan mendapat kepastian akan keberadaanNYA. Bacalah itu arahan untuk menggunakan daya fikir yang membuatkanmu terpaku terpesona sehingga jantung dan lidahmu tidak dapat lari dari menuturkan zikr.

Bacalah dan TuhanMU mengajarkanmu ilmu-ilmu yang tidak dirimu ketahui. Apakah ilmu itu? Bacalah, maka dirimu akan mengetahui bahawa 'aqlmu hanya mampu memproses maklumat yang didapatinya dari pancainderamu. Bacalah, dan dirimu memahami bahawa hakikat kewujudan itu luas tetapi kebenaran yang dirimu ketahui tentang hakikat kewujudan itu terbatas oleh kemampuan 'aqlmu. Maka, Tuhanmu yang Maha Pengasih Pemurah mengajarkanmu apa yang dirimu tidak ketahui tentang kewujudan dan kehidupan di alam sana.

Tidakkah kamu ketahui bahawa kehidupan alam sana itu adalah pendorong dan juga pengawal kepada tingkah lakumu? Bacalah dan dirimu akan mengetahui rahsia disebalik membina jati diri dengan mengetahui kehidupan alam sana bahawa gambaran hidup di sana dapat menghalang dirimu dari terjerumus ke lembah kehinaan.

Tidakkah dirimu dapat bandingkan bagaimana Nabimu mendidik sahabat-sahabatnya dengan memperlihatkan realiti kehidupan di sana dengan sejelas mungkin dan dirimu dididik dengan mendahulukan amalan-amalan yang kamu tidak memahami kenapa kamu harus melakukannya. Hasilnya, amalan-amalan itu tidak dapat menghindarkanmu dari jatuh ke lembah kehinaan.

Bacalah dan dirimu akan menjadi hamba kepadaNYA

No comments:

Post a Comment