Monday, May 16, 2011

Happy Birthday Baba

Bi ismi Allah ar-Rahman ar-Rahim


Tidak pernah Ummi berjumpa dengan orang yang melayan Ummi sebaik Baba. Tidak pernah Ummi kenal suami sebaik Baba. Baba jarang meluahkan perasaannya dengan kata-kata. Tetapi layanan Baba membuatkan Ummi terharu. Masih Ummi ingat Baba menadah muntah Ummi dengan tangan beliau. Ummi mengalami alahan teruk setiap kali mengandung. Kadang-kadang Ummi tidak sempat ke bilik air dan terpaksa mengeluarkan isi perut di dalam sink. Baba, tanpa merasa jijik, membersihkannya dengan bare hands.

Kadang-kadang Ummi mengalami sakit migraine yang teruk sehingga Ummi muntah dan mengotorkan lantai dari ruang tamu hingga ke bilik tidur rumah kami di Paka, Dungun. Apabila Baba pulang dari kerja, Baba akan membersihkan lantai tanpa sedikit pun mnegeluh.

Dulu Ummi suri rumah sepenuh masa. Walaupun Ummi tidak keluar bekerja, Baba akan memastikan pakaian kotor sudah dibasuh dan sarapan pagi sudah di sediakan untuk Ummi sebelum Baba pergi kerja kerana kata Baba Ummi penat menjaga anak-anak kecil yang aktif. Setelah pulang dari kerja, Baba akan mengambil alih tugas menjaga anak-anak, memandikan, menukar lampin, dan bermain dengan anak-anak. Baba memberi peluang kepada Ummi untuk berehat dan membaca buku kegemaran Ummi. Baba faham Ummi bosan jika minda Ummi tidak tercabar dengan membaca dan memikirkan program-program yang Ummi boleh lakukan untuk remaja di Dungun.

Baba tidak pernah menyuruh Ummi memasak dan mengemas rumah. Ummi lakukan semua itu kerana Ummi hendak lakukannya dan jika Ummi memilih untuk tidak melakukannya, Baba tidak pernah marah. Jika Baba sibuk, Baba akan minta bantuan Ummi menggosok bajunya, dan Ummi akan melakukannya dengan rela hati.

Baba tidak pernah kedekut untuk membelanjakan wang membeli keperluan dan keinginan Ummi. Kalau Ummi suka sesuatu, Baba akan belikan dengan kuantiti yang banyak. Baba tidak pernah kedekut untuk memberikan wang kepada ibu Ummi tiap-tiap bulan. Walaupun sekarang Ini Ummi bekerja dan berpendapatan agak lumayan dengan projek-projek ekstra yang Ummi lakukan, Baba masih juga mengeluarkan wang setiap bulan untuk ibu Ummi di kampung.

Ummi tahu Ummi di hati Baba adalah teman untuk Baba luahkan perasaan tertekan ditempat kerja, teman untuk Baba kongsi kegembiraan dan kesedihan, teman untuk Baba hilangkan tekanan kehidupan yang memerah seluruh keringat Baba, teman yang menemani Baba dalam proses menjadi hamba Allah yang ta'at; bukannya pembantu rumah yang tugasnya melakukan kerja-kerja rumah yang tidak pernah siap. Ummi pada Baba adalah ibu yang mendidik anak-anak untuk menjadi hamba-hamba Allah yang soleh dan solehah; jadi Ummi tidak perlu dibebani dengan kerja-kerja yang menghabiskan tenaga Ummi. Biarlah Baba yang membantu Ummi dengan kerja-kerja tersebut kerana anak-anak tidak pernah mahu diajar oleh Baba.

Bagi anak-anak Ummi, Baba seorang yang bias kerana apa juapun keadaan Ummi, Baba akan kata bahawa Ummi adalah orang tercantik di dunia. Anak selalu mengusik Baba, kata mereka pandangan Baba tidak boleh diterima kerana bagi Baba Ummi adalah sempurna. 25 tahun Ummi hidup di samping Baba, kulit Ummi semakin kendur, badan Ummi semakin berat. Baba faham Ummi tidak suka dengan penampilan Ummi sekarang, sebab itulah Baba selalu memuji bahawa Ummi tetap cantik menawan. Anak bongsu Ummi selalu keliru, tapi Ummi katakan kepadabnya bahawa Ummi cantik kerana Baba Cinta.

Baba bukanlah seorang yang semnpurna...banyak kelemahan Baba tetapi bagi Ummi segala kebaikan yang Baba lakukan untuk Ummi melenyapkan semua kelemahan Baba. Ummi bersabar dengan kelemahan Baba kerana Ummi juga mempunyai banyak kelemahan. Jika Baba boleh menerima Ummi seadanya, kepada pulak Ummi harus memikirkan kelemahan Baba.

Walaupun sekarang Ummi mempunyai pendapatan sendiri, Baba tidak pernah lupa untuk memberikan wang perbelanjaan mingguan untuk Ummi. Bagi Baba, walau siapa pun Ummi, tanggungjawab kewangan tetap dibahu Baba.

UMMI SANGAT BERTUAH MEMPUNYAI SUAMI SEBAIK BABA. TIADA APA YANG UMMI BOLEH LAKUKAN SELAIN DARI DOA UMMI SUPAYA ALLAH AMPUNKAN SEGALA KESALAHAN DAN DOSA BABA DAN TEMPATKAN BABA BERSAMA ORANG-ORANG SOLEH.

BABA BAGI UMMI ADALAH PASANGAN DARI SYURGA. KISAH CINTA UMMI DAN BABA BERMULA SETELAH KAMI SELAMAT DIIJAB KABULKAN. PERTAMA KALI UMMI MENATAP WAJAH TAMPAN BABA ADALAH SETELAH SELESAI AKAD NIKAH DILAKUKAN. SELAMAT ULANG TAHUN KE 47. UMMI SAYANG BABA.

No comments:

Post a Comment