Friday, March 11, 2011

IBU

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Maha penyayang

Puan Hajar seorang yang ibu yang biasa seperti kebanyakan ibu yang lain. Keistimewaan Puan Hajar adalah sifatnya yang pemurah. Boleh dikatakan hampir semua pendapatan bulanannya disedekahkan dengan membayar yuran pengajian pelajar tahfiz, hadiah kepada ibunya, membayar yuran pengajian rakan-rakannya yang tidak berkemampuan dan Puan Hajar juga mengambil pelajar dari keluarga kurang berada menjadi anak angkatnya semata-mata untuk membantu mereka meringankan beban kewangan sepanjang tempoh pengajian anak-anak tersebut.

Walaupun Puan Hajar dikurniakan anak-anak yang cemerlang akademik, dia kesal kerana kegagalannya mendidik anak-anak yang berakhlak Islam. Anak-anak Puan Hajar taat dalam melakukan tanggungjawab sebagai seorang Islam tetapi dalam hal perhubungan kekeluargaan dan silaturrahim, anak-anak Puan Hajar gagal melaksanakan perintah Allah yang Maha penting ini. Anak Puan Hajar lebih mementingkan orang lain dari ahli keluarga sendiri.

Suatu hari, Puan Hajar keluar rumah untuk melaksanakan urusan penting. Hari itu juga anak perempuan tertuanya, Sofia, mengundang kawan-kawannya kerumah untuk memasak. Puan Hajar merasa senang hati kerana adik-adik Sofia tidaklah kelaparan nanti. Tetapi alangkah kecewa dan sedihnya Puan Hajar apabila adik-adik Sofia menelefon memberitahu mereka kelaparan dan tidak makan semenjak dari pagi lagi. Puan Hajar hairan dan bertanya,

"Kakak kamu tak jadi masak bersama kawan-kawannya ke?". Dija, adik Sofia, menjawab dengan suara yang sayu dan marah, "Kakak masak tetapi dah habis dimakan bersama-sama dengan kawan-kawannya". Puan Hajar tersentak...Sampai hati Sofia membiarkan adik-adiknya kelaparan dari pagi hingga ke petang. Airmata Puan Hajar mengalir laju tetapi dia memaafkan kesalahan Sofia kerana jika dia tidak memaafkan Sofia, Allah tidak akan redha dengan Sofia dan hidup Sofia akan merana di dunia dan juga di akhirat. Puan Hajar kesal dengan kegagalannya mendidik anak yang ada perasaan belas kasihan dan penyayang.

Masa berlalu dengan pantas, jurang antara Sofia dan adik-adiknya semakin jauh. Puan Hajar pula sibuk dengan kerjayanya. Anak-anak Puan Hajar, Dija dan Isha, menyokong usaha beliau. Puan Hajar, mengikut pandangan Dija dan Isha, adalah seorang ibu yang penyayang, tidak suka berleter, sangat penyabar, pemurah, amat jarang marah, tidak garang dalam mendidik mereka, beliau juga seorang yang bijak dan amat mementingkan kefahaman Islam yang betul serta mengamalkan aqidah yang sempurna. Dija dan Isha memuji kelebihan ibu mereka.

Tetapi lain pula dengan Sofia. Pada suatu hari, ketika Puan Hajar mengajar, beliau menerima pesanan ringkas dari Sofia yang berbunyi,

"Assalamualaikum. Disebabkan Sofia sayangkan ibu dan Sofia tidak mahu ibu masuk neraka maka Sofia mahu menegur ibu. Ibu suka bercakap mengenai Islam tetapi ibu sendiri tidak praktiskan Islam. Ibu seorang yang tidak penyabar, suka bercakap mengenai harta, suka marah-marah, suka mengarah, menegur dengan tidak berhikmah, suka memperbesarkan perkara kecil. Sebenarnya sudah lama Sofia perhatikan layanan ibu terhadap tunang Sofia. Sofia kecewa dengan ibu. Ibu faham Islam tetapi tidak praktikkan Islam. Sofia tidak hairan kalau tunang Sofia hendak putuskan hubungan dengan Sofia sebab perangai ibu. Bukan dengan tunang Sofia saja ibu berkelakuan begini tetapi dengan orang lain juga. Harap sangat-sangat ibu faham"

Hancur luluh hati Puan Hajar bukan kerana tidak boleh menerima teguran tetapi kerana tuduhan yang tak berasas sama sekali. Kalaupun teguran itu betul, amatlah tidak sesuai bagi seorang anak menegur ibunya dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas. Kalau ibunya salah, dia perlu betulkan dengan menunjukkan cara berkelakuan yang betul, bukan dengan berlagak sebagai tuhan sehingga tahu bahawa ibunya bakal ke neraka. Sedangkan Allah itu amat Pemurah dan Pengampun, seorang pelacur pun Allah masukkan ke Surga disebabkan pelacur tersebut memberi minum kepada anjing yang haus. Adakah ibu bagi pandangan Sofia lebih hina dari pelacur dan anjing? Puan Hajar juga kecewa kerana Sofia seolah-olah tidak percaya kepada Allah sehingga sanggup mengatakan bahawa ibunya ada kuasa untuk memutuskan pertunangan bukannya Allah. Puan Hajar berdoa agar Sofia beristighfar dan mengucap supaya kembali beriman kepada Allah.

Airmata Puan Hajar mengalir laju. Makanan yang dikunyahnya terasa lekat di kerongkong. Sebaik saja beliau pulang dari kerja, beliau terus ke bilik tidur. Beliau sedaya upaya memohon kepada Allah supaya tidak menghukum Sofia dengan airmata ibu yang tumpah tidak berhenti-henti. Doa dipohon kepada Allah supaya Sofia selamat dunia dan akhirat dan supaya dia cemerlang dalam peperiksaannya. Walaupun hati Puan Hajar remuk redam tetapi beliau sayangkan anak-anaknya. Puan Hajar tidak mahu Allah tidak meredhai Sofia akibat dari tidak redhanya, ibu Sofia. Setiap kali airmata Puan Hajar mengalir disebabkan Sofia, doa supaya Allah redha kepada Sofia tidak pernah putus-putus. Puan Hajar benar-benar takut Allah akan menghukum Sofia kerana menyebabkan airmata ibu mengalir.

Setelah suaminya pulang, Puan Hajar menunjukkan pesanan ringkas dari Sofia kepada suaminya. Setelah membaca mesej tersebut, suami Puan Hajar mencela Sofia dan memujuk Puan Hajar bahawa segala apa yang di tulis dalam mesej tersebut adalah dusta semata. Suami Puan Hajar memanggil Dija dan Isha dan bertanya mengenai perangai ibu mereka. Mereka dengan senang hati mengatakan yang ibu mereka seorang yang baik, penyabar, tidak suka marah-marah, pemurah, tidak garang, penyayang dan seorang yang sensitif terhadapa masalah orang lain.


Kata-kata Dija dan Isha memberi sedikit kegembiraan kepada Puan Hajar. Bagi Dija, orang yang hanya menghabiskan masa 1 peratus sahaja dengan ibu tidak boleh menghukum ibu sedemikian rupa kerana 99 peratus lagi itulah yang lebih benar dan tepat. Tetapi selama berminggu-minggu airmata Puan Hajar gagal dibendung apabila beliau teringatkan mesej dari Sofia. Lalu Puan Hajar mengambil keputusan membawa hati yang hancur luluh menjelajah bumi Allah buat seketika.

No comments:

Post a Comment