Friday, July 1, 2011

TALIAN HAYATKU

Bi ismi Allah ar-Rahman ar-Rahim

Semester pendek berlalu pantas. Ummi gembira kerana Ummi telah selesai menjalankan tugas yang diberikan. Tiada apa yang Ummi harapkan dari pelajar Ummi cuma supaya mereka mengamalkan didikan Ummi walau cuma sedikit saja...Ummi amat berharap supaya pelajar Ummi memberikan harta yang tidak ternilai untuk bekalan Ummi di sana. Terima kasih pelajarku melaluimu hamba berharap redha dari Allah.

Suatu ketika dahulu, dibulan Ramadhan, di Masjidil Haram. Seorang muslimah berketurunan India dari London, menghadiahi Ummi seutas tasbih diperbuat dari sejenis kayu yang wangi. Wanita berwajah teduh itu menghadiahi Ummi tasbih itu kerana kata beliau Ummi berperwatakan lembut...Benarkah? Ummi menilik wajah di cermin...yang Ummi nampak wajah yang dimamah usia, tetapi amalan tidak setimpal dengan usia yang semakin mendekati rumah kecil di perut bumi. Menyedari itu, Ummi gunakan tasbih itu sekerap mungkin supaya muslimah dari London itu mendapat pahala sebanyak mungkin...tetapi malangnya Ummi hilangkan tasbih itu. Mungkin itu saja rezeki Allah baginya. Ummi mula memikirkan bekalan ke sana... Harta yang kekal hanyalah sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak-anak yang soleh.

Ummi mendidik anak-anak semampu Ummi dengan kelemahan demi kelemahan yang cuba Ummi perbaiki. Ummi dan Baba rela, diusia muda kami, menukar kesenangan dan keselesaan hidup demi mendidik anak-anak soleh dan solehah. Walau kawan-kawan menegur ketidakmampuan kami memiliki rumah tersergam indah dan berkereta mewah sedangkan mengikut perkiraan mereka pendapatan lebuh dari mencukupi, kami hanya berdiam diri...berpadalah kami dengan kereta volvo tua asalkan anak-anak dihantar ke sekolah yang mampu mendidik anak-anak ilmu dan akhlak Islami. Ada yang mencemuh kerana Ummi menghantar anak-anak ke sekolah yang serba kekurangan tetapi yurannya agak tinggi berbanding dengan sekolah kerajaan. Mereka mempersoalkan masa depan anak-anak...tetapi Ummi yakin kepada kemampuan sekolah Islam yang serba serbi kekurangan...tetapi ada kekuatan tenaga pengajar yang ikhlas dan hidup berpandukan shari'at. Harapan Ummi Baba, anak-anak membantu kami di negari abadi.

Semakin meningkat usia, ilmu dan kemahiran dinilai tinggi, rezeki yang diberi Allah betambah...kerisauan pun bertambah. Adakah cukup memberi untuk membina mahligai bahagia di sana? Melabur harta untuk mendapatkan dividen yang beratusan kali ganda? Nikmat yang pemberian Allah merupakan ujian yang sukar berbanding dengan kesusahan hidup. Kadang-kadang kelemahan iman melanda dan Ummi lupa untuk bershukur. Ummi lupa untuk bershukur dengan kecerdasan minda anugerah Allah. Pujian demi pujian begitu melalaikan sehingga merasa kecerdasan itu hasil usaha sendiri bukan anugerah Allah. Bukan sekali Ummi tersungkur di mahligai ilusi yang indah bertatah kaca yang disangka intan. Berkali-kali Ummi melalui soalan ujian yang sama sehingga Allah menganugerahi Ummi ada dan tiada itu sama saja...ini juga nikmat yang sering membuat Ummi terlupa bahawa ianya kehendak Allah jua... sungguh bijak shaitan itu bila ia mengata bahawa hasil kerjamulah kamu dapat menikmati kesatuan bahagia dan derita...Ummi lupa bahawa dapat menyelami bahagia dalam derita itu nikmat pemberian Allah jua..

Usaha Ummi yang terakhir meninggalkan ilmu yang bermanfaat. Ummi masih belum berjaya menulis buku-buku, Ummi masih belum berjaya menyebarkan penemuan selidikan Ummi, Ummi masih belum membina legasi ilmu yang bermanfaat...dan hari semakin tua dan tidak akan menunggu Ummi lagi. Semoga segala usaha Ummi dan pasukan Ummi menyebarkan sunnah Rasulullah ke dalam masyarakat berakhir dengan legasi yang membekalkan dividen yang berterusan...talian hayat di negari abadi yang terakhir.

Wahai anak, kasihanilah Ummi dan Babamu...yang mengharapkan doa dan shafa'at untuk kebahagian abadi di sana.

Sesungguhnya perancangan Allah itulah yang benar...Setiap kali Ummi menulis di blog ini, hasilnya bukan yang Ummi rancangkan. Ummi mula dengan niat untuk berkongsi pengalaman mendapat ilmu baru yang diajarkan oleh Puan Ainon PTS, tetapi post ini menjadi post talian hayat...Maha Mengetahui Allah...mashaAllah.

2 comments:

  1. Thanks ummi. I'm one of your students. Banyak benda yang Ummi ajar membuatkan saya banyak berfikir hal2 kehidupan di dunia dan akhirat.

    Semoga kita dapat jadi hamba yang terbaik. :)

    ReplyDelete
  2. Thank you, Lily. I thought there was no Lily in my class... But then, thank you for dropping by...now I'm really curious :)

    InshaAllah, may Allah guide us all to the straight path, amin.

    Stay in touch! :)

    ReplyDelete