Bi ismi Allah ar-Rahman ar-Rahim
Maksu memanjangkan lehernya, meninjau kereta yang baru masuk ke jalan sempit di sebelah timur rumahnya. Sudah berpuluh buah kereta yang menyusur jalan sempit itu, namun kereta merah tidak kelihatan. Keluhan hampa terlepas dari mulut Maksu.
"Ketika dia ingin bersekolah, akulah yang menjahit baju sekolahnya, seluar sekolahnya, menjual roti canai untuk mencari wang bekal sekolahnya", kata Maksu antara dengar dengan tidak.
Maksu mengesat air yang jatuh dari bibir matanya dengan hujung lengan bajunya. Maksu menyambung ceritanya, "Ketika aku berumur 14 tahun, ayahnya bernikah dengan aku. Dia berusia 3 tahun waktu itu. Dalam usia muda, aku mendapat seorang anak yang sedang nakal. Aku didik dia seumpama anak sendiri".
"Sudah tiga tahun dia tidak pulang beraya di kampung, telefon bertanyakan khabar pun tidak. Apatah lagi untuk memohon maaf dan mengucapkan selamat hari raya kepada aku dan juga ayahnya", rindu Maksu menyesakkan dada, merembeskan airmata.
Maksu teringin sangat untuk menelefon tetapi dilarang oleh Paksu. Kata Paksu, "buat apa diingat orang yang sudah lupakan kita?". Hancur luluh hati Maksu. Mana mungkin dia lupakan orang yang dia mandikan, dia suapkan nasi kicap dengan telur mata kerbau, dia hantarkan ke sekolah, dia belai umpama anak yang keluar dari rahimnya sendiri. Paksu tidak memahami perasaan Maksu, keluh Maksu suatu ketika dahulu.
Melihat keadaan Maksu yang begitu, Paksu naik angin. "Sudah aku katakan tidak perlu difikirkan hal dia lagi. Rumah kita sudah cukup bising dengan anak cucu. Apa yang kamu sedihkan sangat?" Maksu diam membisu.
Gelagat Maksu diperhatikan Hajar. Dia tahu benar keluhan hati ibunya itu. Hajar cuba untuk memujuk ibunya. "Tiga tahun dulu, ketika along pulang, hati ibu hiba dan terluka. Biarlah along tidak pulang, setiap kali dia pulang ibu akan menangis kesedihan dengan gelagat isterinya", kata Hajar kepada ibunya.
"Masihkah ibu ingat ketika ayah teringin untuk makan buah tembikai susu? Tiba-tiba along pulang dengan menjinjing beg plastik berisi 4 biji tembikai susu", sambung Hajar lagi.
Maksu pandang wajah Hajar yang bulat berisi. Dia masih ingat dengan jelas. Along membawa tembikai susu itu dan diletakkan di depan pintu, betul-betul depan Paksu. Setelah berbasa basi, along menjinjing tembikai susu itu dan dibawanya ke dalam biliknya. Paksu memandang Maksu dengan hiba.
Setelah berehat seketika, along mengambil pisau di dapur dan masuk ke dalam biliknya bersama anak isterinya. Mereka makan 2 biji tembikai susu di dalam bilik. Masih berbaki 2 biji lagi. Maksu menaruh harapan bahawa along akan memberikan 2 biji itu kepada Paksu. Keesukan harinya isteri along menjinjing 2 biji tembikai dan dimasukkan ke dalam kereta. Hati Maksu sudah kepanasan lalu dia bertanya, "Kemana mahu dibawa tembikai itu?". Isteri along menjawab, "Oh...tembikai susu itu kah?...saya mahu beri kepada ibu saya di kampung seberang".
Peliknya, Maksu tidak marah. Maksu bangun dan berjalan ke dapur. Di dapur dia menangis semahu-mahunya. "Sampai hati kamu along, ayah yang bertungkus lumus bekerja menyara pengajian kamu sehingga kamu berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara...sepotong tembikai susu kegemaran ayah kamu pun kamu sayang untuk berikan kepadanya", keluh Maksu dalam sendu.
SECEBIS KISAH BENAR BUAT RENUNGAN
No comments:
Post a Comment